SEJARAH INTERNET DI MALAYSIA
Perkembangan Internet di Malaysia bermula pada tahun 1983
apabila netizen Malaysia yang pertama iaitu Dr. Mohamed Awang-Lah memulakan
idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia menerusi Internet di makmal
Universiti Malaya. Pada ketika itu, beliau merupakan ahli akademik
Fakulti Elektrikal/Elektronik di Universiti Malaya. Dr. Mohamed Awang-Lah
telah membuat hubungan Internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau
ditempatkan di MIMOS (Malaysian Institute of Microelectronic System).
Penubuhan MIMOS oleh kerajaan menyediakan peluang kepada warga Malaysia
yang cerdik IT untuk menghasilkan hubungan Internet yang lebih baik.
Pada tahun 1989, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan
kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan oleh Dr. Mohamed
Awang-Lah. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada
peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari
pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum
elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber.
Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan
teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan
juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu
pengurusan yang berkaitan dengannya.Berdasarkan kepada pengalaman ini, program
JARING (Joint Advanced Integrated Networking) telah dirumuskan, dan ianya
dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian
komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara
praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan
ke dalam projek JARING.
MIMOS mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek
pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia KeEnam. JARING yang dihubungkan
dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan
dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong
aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan
kepada rangkaian Internet antarabangsa.
Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke
Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini
menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi efektif dari segi
kos setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING.
Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang
merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps.
Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian
optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.
Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih
cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan
di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah
bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam,
Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar,
Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan
Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai
JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut
boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari Singapura, Brunei, dan Thailand.Dari
segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 29 organisasi
dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200
pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992.
Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan
organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet
melalui talian dail sahaja, sementara organisasi boleh mengakses melalui talian
dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat
kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat.
Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi
menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan
aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang
JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan
kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail. Dalam tahun
1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan
Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps.
Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail
telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996
sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.
Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke
Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar
2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1)
sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang
semakin bertambah.
Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian
JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia
Ke-9, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara
yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang. Untuk
membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah
memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat
Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan
orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.
Seterusnya, pada tanggal 9 November 1996 JARING telah
menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH)
dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna
tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini
memudahkan pengguna Internet menghubungi laman web di rantau Asia.
Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus bagi pengguna
kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei
1999, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang
meliputi lebih 150 negara.
Pada 11 Jun 1999, JARING menempa sejarah dengan pemasangan
talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama
seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil
sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 99. Selanjutnya pada
akhir tahun 1999, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang
dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.
Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin
memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom
Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Pembekal
Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada
pihak kerajaan. Sehingga akhir 2000, di antara syarikat-syarikat lain yang
turut menyediakan perkhidmatan ISP di Malaysia ialah Maxis Communications
Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd. dan Time dotCom Berhad.
Penggunaan Internet terus berkembang dengan pesat sebagai
media komunikasi multimedia utama dunia pada alaf ke 21 ini. Cabaran utama
kita semua ialah untuk menyediakan masyarakat Malaysia agar sentiasa
bersedia menggunakan teknologi Internet sepenuhnya di samping mengenali
batasannya.
Comments
Post a Comment